Kisah Kasih, Rahmah dan Fitrah
Oleh : Muhd Noor Bin Muhd Deros
Dengan kemuliaan manusia itu dicipta
Mulianya kerna memahami tanda dan makna
Hebatnya dia mengerti kerana membaca
Karamahnya kerana berhati serta berminda
Remehlah yang sebentar!
Terjulanglah yang kekal!
Namun dia tidak mampu selamanya begitu
Bersendirian suci bersih tanpa diganggu
Dia harus diuji!
Demi menzahirkan bukti
Sebelum dinobat sebagai kekasih sejati!
Si dalang dan si hitam pun datang bertamu
Bermulalah pertarungan antara dua regu
Syaitan dan nafsu…akal dan wahyu
Mana kan menang? Jiwa kan menjadi penentu…
Sayangnya bila dihujani tusukan ujian….
Ternyatalah mulia tidak bererti kebal
Bila dicuba terbukti ramai yang gagal…
Bila diserang ternyata insan itu dangkal
Gagal kerana menghina akal
Dangkal akibat meremehkan bekal
Sesat kerna dalam menimbang tidak cekal
Lemas kerna bodoh dan ungkal
Hinalah yang mulia kerna angkuh
Rendahlah yang tinggi kerna gopoh
Sesatlah pengembara kerna tiada penyuluh
Binasalah yang hebat bila rosaknya ruh
Namun manusia itu tiada mahu binasa
Kerna ingin kekal lah Khuldi dirasa
Kerna dahulu manusia jasadnya tiada
Maka bimbang binasanya tiada dirasa
Dapatlah ruh dan jiwa terus bertakhta…
Namun bila disarungkan jasad dari tanah
Bimbang binasa insan mula beralih arah
Tumpuannya kini adalah daging dan darah!
Jikalau dibiar tenggelam akibatnya sangatlah parah!
Ingatlah….
Jasad itu bagaikan harta,ia wasilahnya tujuan
Namun keras usahanya untuk menjadi tumpuan
Bila datangnya kaya berputiklah haloba
Bila ia tiada tamak berhenti ada
Bila jasad ada terciptalah benih serakah
Serakah berputik bila jasad dijunjung dan disembah
Jasad dijunjung bila minda dihinjak si ammarah
Jasad disembah akibat hasutan samiri dalam jiwa
Ingatlah!
Jasad bagai jambatan yang tujuannya adalah wasilah
Ia bukan seperti bahagia, sang tujuan si wasilah
Ingatlah!Manusia tidak boleh menanggalkan sendiri sarung jasad
Kerna dia tidak boleh menentukan bila ujian harus tamat!
Dibuang mati mak ditelan mati bapak…
“Dengan nama Tuhanmu yang maha Pengasih lagi maha Penyayang…”
“Dan Tuhan mu tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hamba-hambanya…”
Wahai hamba-hambaku mari berikan tanganmu….
Ayuh disampingku kupimpinkan perjalananmu
Ku ajarkanmu bagaimana mengatasi onak dan liku
Kau hanya perlu menggerakkan kakimu
Wahai hambaku
Ketahuilah bahwa…
Cengkaman jasadmu itu harus kau longgarkan
Ruang kemahuan tubuhmu harus kau sempitkan
Barulah rohmu dapat mengecap kebebasan
Dapatlah ia terbang kepadaku kembali dengan harapan
Selepas lama berpisah kan dapat dirasa manis pertemuan!
Wahai hamba-hambaku…
Kedua-dua kubu kuat dalam jasadmu harus kau tawan
Kubu yang bertembokkan alasan keperluan
Bertempat diantara dua peha dan dua geraham
Tentera kemestianmu harus menyergah tali barut keperluan!
Ia harus disiasat dipersoal dan harus kekal didalam tawanan!
Kerna keinginan seringkali bertopengkan keperluan!
Awas!!Keinginan seringkali bertopengkan keperluan!
Wahai hamba-hambaku mari berikan tanganmu….
Ayuh disampingku kupimpinkan perjalananmu
Ku ajarkanmu bagaimana mengatasi onak dan liku
Kau hanya perlu menggerakkan kakimu
Wahai Kekasih-kekasihku…
Jika dapat kau lakukan maka kau nantikanlah
Ganjaran dariku berlipat keuntungan
Pengorbananmu takkan ku sia-sia kan
Kerana sesungguhnya akulah Al-Hanaan!
Akulah Ar-Rahmaan dan Al-Mannaan!!
Sungguh curahan hujan kasih Al-Mannaan…
Tiada langit tiada bumi yang kan mampu menampung!
Walau dibantu langit dan bumi yang lain sekalipun!
Sungguh manusia itu makhluq beruntung!
Sungguh manusia itu makhluq beruntung!
Sungguh rahmah Ar-Rahiim itu maha agung!
Marah dan murkanya tetap digantung
Kerana besar rahmahNya masih membendung!
Wahai kekasih-kekasih hati…
Ingatlah sesungguhnya bila kau melakukan kebaikan sesungguhnya kau melakukan kebiakan untuk dirimu sendiri….
Kerajaan ku tidak bertambah hebat kerna hebatnya ibadahmu!
Dan keagungan ku tidak menjadi kurang kerna kealpaanmu!
I’zmah ku tiada kan pernah terganggu
Izzahku kan terus kekal atas kekalnya zatku
Sesungguhnya hari ini adalah hari bukti!
Hari kepulanganmu kepada ciptaan asli!
Latihan yang dilalui akan menambah sakti!
Bekalan menempuhi ranjau sebab hidup dan mati!
Wahai jiwa!Kembalilah kau kepada fitrah!
Selepas jasad kau tawan!
Selepas nafsu kau lawan!
Selepas akal dan wahyu kau kahwinkan!
Wahai jiwa!Kembalilah kau kepada fitrah
Fitrah yang ingin mengenaliku!
Fitrah yang ingin menyintaiku!
Fitrah yang ingin berlari mendakapku!
Jangan kau bisukan permintaannya
Jangan kau matikan harapannya!
Berjuanglah terus demi memastikan suara-suara itu terus hidup!
Teruskanlah perjuanganmu!
Aku kan senantiasa disampingmu!
Ingat!Tidak sekali-kali aku yang meninggalkanmu!
Engkaulah yang sering merasakan kehadiranku menyusahkan mu…!
Namun Sungguh rahmahku itu maha agung!
Marah dan murkaku tetap kugantung
Kerana besar rahmahKU masih membendung!
Bagai seorang ibu yang tiada kan sanggup membuang anak yang dikandung
Demikian rahmah seorang ibu ketahuilah sungguh rahmah ku jauh lebih agung!
Ingatlah Rahmah ku jauh lebih agung!
Ceritakanlah pada mereka kisah kasih rahmah dan fitrah ini!
Rahmah agung bersaksikan langit dan bumi!
Peringatan bagi yang masih berakal dan berhati!
Supaya diketahui sebabnya kehidupan ini!
Thursday, March 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment