Thursday, March 26, 2009

Syariah.Falsafah.Akal.Etika.

Syariah.Falsafah.Akal.Etika.
Muhd Noor Bin Muhd Deros



Falsafah dari segi bahasa berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu Philo dan Sophia, yang bermakna cinta (Philo) dan hikmah (Sophia).Dengan erti kata lain falsafah bermaksud cinta kepada ke bijaksanaan.

Dari segi istilah pula ia bermaksud usaha memahami hakikat (Reality & Truth) sesuatu perkara,iaitu usaha minda yang kuat untuk melepasi aspek bentuk, dan menuju kepada titik hakikat perkara tersebut.

Kemungkinan ada yang akan berhenti pada perenggan diatas kerana tidak selesa dengan perkataan falsafah itu sendiri. Ya, ia memang perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani, ia bukan berasal daripada bahasa arab,ia tidak disebut didalam Al-Quran, dan tiada juga disebut didalam Sunnah.

Disini, setiap daripada kita seharusnya berhenti sejenak dan bertanya soalan ini pada diri sendiri; adakah adil untuk menolak sesuatu perkara hanya kerana tidak selesa dengan asal usul nama perkara tersebut? jika suatu hari emas dipanggil dengan nama lain seperti tanah, adakah ia menggurangkan nilai emas tersebut secara hakikatnya? Begitu juga jikalau tanah pada suatu hari dipanggil emas, adakah secara hakikat nilainya bertambah?

Tujuan persoalan ini adalah untuk mengarahkan kita untuk melihat pada hakikat sesuatu perkara, melepasi sempadan nama dan bentuk, yang hanya mewakili sebahagian daripada hakikat perkara tersebut.

Telah menjadi kebiasaan manusia untuk sentiasa mengikat sesuatu idea dengan personaliti, sehingga kadangkala payah untuk diterima didalam pemikiran bahawa idea dan personaliti adalah dua perkara yang berbeza.Dan ini biasanya menimbulkan masaalah.

Falsafah (Cinta kepada Hikmah) tidak harus kita satukan dengan personaliti pemikir-pemikir Yunani, seperti Socrates, Plato dan Aristotle,sehinggakan kita menyangka bahawa berfalsafah (Aktiviti mencintai Hikmah dan usaha untuk mendapatkannya) hanyalah milik dan monopoli pemikir-pemikir Yunani tersebut.

Hakikatnya adalah tidak sama sekali, saya percaya bahawa semua bangsa tanpa kecuali mencintai Hikmah dan kebenaran. Dengan ini sesiapa sahaja, daripada bangsa mana sekalipun dan agama apa sekalipun, jika dia cinta akan hikmah dan kebenaran, seterusnya berusaha keras untuk mencapainya dia bukan sahaja berhak tetapi seharusnya dipanggil sebagai seorang failusuf,philosopher atau ahli falsafah.

Dan sebahagian ulama kibar kita memahami perkara ini.

Didalam Bukunya Tamhid Li Tarikhil Falsafah Al-Islaamiyyah Dr Mustafa Abd Razzaq menukil daripada kitab Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal, dimana ketika Imam Ahmad memuji dan menceritakan tentang manaqib Al-Imam As-Syafi’I beliau mengatakan ini :

" الشافعي فيلسوف في اربعة اشياء: اللغة واختلاف اللسان والفقه والمعاني "

“Al-Imam As-Syafi’I adalah seorang ahli falsafah didalam empat perkara : Didalam ilmu bahasa arab, ilmu perbezaan lidah dan lahjah, ilmu Fiqh dan Ilmu Ma’aaniy (Balaghah)”

Kita lihat Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal menggunakan perkatan failusuf untk memuji Al-Imam As-Syafi’i.

Bagaimanakah seorang ulama yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai pengikut Sunnah yang hakiki serta penentang segala bentuk bid’ah (termasuk falsafah) seperti Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal boleh mengatakan tukilan diatas?

Ini menunjukkan bahawa beliau memahami makna asal perkataan falsafah, beliau memahami bahawa falsafah atau cinta hikmah dan pemikir Yunani bukanlah dua perkara yang melazimi satu sama lain, beliau memahami perbezaannya.

Namun persoalannya adalah, mengapa perkataan ‘Falsafah’ yang digunakan?

Ini adalah kerana, daripada berpuluh-puluh ketamadunan silam yang semestinya memiliki manusia-manusia yang mencintai hikmah dan kebenaran, umat Yunani sejauh penemuan sejarah dan arkeologi hingga ke hari ini boleh dikatakan sebagai bangsa pertama yang didapati membentuk falsafah menjadi satu badan ilmu yang sistematik,yaitu dengan menyenaraikan mauduk-mauduknya, mencipta metodologinya dan melakar strukturnya.

Ini sangat jelas tidak bermakna bahawa umat lain tidak berfalsafah, bangsa Cina, India,Parsi dan yang lainnya juga memiliki pemikir-pemikir hebat. Namun aktiviti berfalsafah dalam bentuk yang sistematik tidak ditemui didalam sejarah mereka, atau kemungkinan belum ditemui.

Falsafah sangat berbeza dengan adat dan budaya, kerana adat dan budaya adalah sesuatu yang diwarisi tanpa melalui proses penapisan yang teliti dan berterusan.

Falsafah pula tidak begitu, ia sentiasa dikritik dan diperiksa sedalam-dalamnya sepanjang sejarah ilmu falsafah, kita lihat bagaimana pendapat Aristotle selepas diserang habis-habisan oleh Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Ibn Taymiyyah tetap terus ditapis dan diperbetulkan hingga ke hari ini.

Ini menunjukkan ketinggian falsafah dan kejujurannya, kerana tiada mauduk dan tiada pemikir didalam bidang falsafah yang tidak boleh dikritik,ilmu falsafah itu sendiri boleh dikritik, dan telah pun dikritik oleh ramai pemikir ulung umat manusia.

Disinilah terletaknya nilai falsafah. Ia adalah akumulasi pendapat-pendapat terbaik daripada pemikir-pemikir terulung didalam sejarah manusia selama beribu tahun.

Apakah ciri-ciri seorang ahli falsafah?

Ahli falsafah adalah mereka-mereka yang cinta kepada kebijakan & pemikiran yang dalam, benci kepada kesembronoan, kecetekan didalam menafsirkan sesuatu serta sentiasa menentang mereka-mereka yang memperlekehkan kemampuan akal.

Martabat akal adalah sangat tinggi didalam pandangan falsafah. Kerana akal adalah lensa diantara manusia dan wahyu /Tuhan, manusia dan alam, serta manusia dan manusia.

Lensa yang jelas,kuat dan bersih, mampu melihat sesuatu yang tidak mungkin dilihat oleh mereka yang tidak memiliki lensa dengan kualiti yang sama.

Ini adalah antara sumbangan besar falsafah kepada manusia, ia menekankan bahawa realiti sesuatu perkara berbeza-beza didalam pemikiran manusia dikeranakan kemampuan lensa masing-masing yang berbeza-beza.

Islam dan akal

Sepotong ayat Al-Quran dan Hadith, seringkali difahami degan maksud yang berbeza-beza,walaupun setelah persetujuan dicapai mengenai makna perkataan-perkataan yang terkandung serta Sabab Nuzul dan segala consideration yang harus diperhatikan sebelum membuat rumusan mengenai maksud ayat Al-Qura dan hadith itu tadi.

Antara faktornya adalah dikeranakan kualiti lensa manusia berbeza-beza.

Ada diantara kita yang akal dan pemikirannya telah lama dimanjakan dengan cara berfikir yang mudah dan cetek, serta tidak mampu (atau tidak ingin kerana malas) untuk memahami complexity atau kerumitan realiti kehidupan zaman moden. Ini berlaku apabila kita tidak ingin tahu akan enjin-enjin ideologi (berpaksikan falsafah barat) yang menggerakkan bumi serta aktiviti kehidupan manusia pada zaman ini.

Kemungkinan kita telah dimomok-momokkan oleh golongan yang sejenis pemikirannya. Dimomokkan dengan mengatakan bahawa jangan menyelam lautan tersebut, anda akan tenggelam, kerana ramai yang sudah tenggelam,saya sendiri sudah hampir tenggelam…

Ramai manusia menghukum kemampuan orang lain berdasarkan kemampuan dirinya sendiri, dan ini adalah sesuatu yang menakjubkan!

Apa yang mereka ingin tahu hanyalah, sama ada ini betul ataupun salah? Ini berdalil ataupun tidak?
Mereka tidak peduli akan soal baik dan buruk.

Memang benar yang benar itu baik dan yang salah itu buruk,namun jika kriteria menentukan betul dan salah hanya bergantung kepada teks atau naql, tanpa konteks dan aql, mudah saja apa yang dianggap benar akan berubah menjadi buruk dan apa yang dianggap salah menjadi sesuatu yang baik. Terlalu obsess dengan naql tanpa aql tanpa kita sedari akan menjadikan kita - Bak kata Sheikh Hamza Yusuf Hanson - ‘naqlheads’ atau knuckle heads. :D

Imam Fakhrudddin Ar-Raziy menafsirkan ayat “nur a’la nur” dengan mengatakan bahawa : Nur yang pertama adalah Wahyu, dan Nur yang kedua adalah akal. Kedua-duanya adalah Nur, cumanya Nur wahyu itu lebih tinggi.

Namun ini tidak bermakna peranan akal itu kecil didalam arena agama.

Dr Ali Gum’ah Mufti Mesir memberikan statistik yang menarik dan sangat penting ini :

Al-Quran mengandungi sebanyak lebih kurang 6000 ayat
Ayat ahkam pula tidak melebihi 300 ayat daripada keseluruhan Al-Quran yang berjumlah 6000.
Ini bermakna ayat ahkam hanya membentuk 5% daripada keseluruhan Al-Quran.

Hadith yang sampai pada kita pada hari ini pula berjumlah lebih kurang sebanyak 60,000 hadith.
Dan hadith ahkam pula adalah sebanyak lebih kurang 2000 sahaja, yaitu 3% sahaja daripada hadith2 yang terkumpul.

Sedangkan ahkam syar’iyyah yang terkumpul didalam buku2 fiqh adalah lebih kurang sebanyak 1.2million.

Kita lihat bagaimana 300 ayat Al-Quran dan 2000 hadith boleh melahirkankan sebanyak 1.2 million ahkaam?!

Bukankan ini jelas menunjukkan bahawa jikalau ulama kita yang terdahulu tidak memerah akal pemikiran mereka menyesuaikan naql dan aql dan hanya mengambil zahir nas, bagaimanakah ahkaam syar’iyyah boleh sampai mencecah 1.2 juta?

Dan disini kita juga boleh istinbaat satu lagi perkara penting.

3% sahaja daripada Al-Quran dan Hadith yang deal berkenaan soal Ahkaam syari’yyah.

Bagaimana dengan 97% yang baki?

Kita lihat apa yang dikatakan oleh Dr Al Gum’ah :

“ Sesungguhnya 97% agama kita yang telah lama kita abaikan adalah berkisar pada Aqeedah dan Akhlaq…”

(Statistik ini ana tukil daripada Video Lecture Dr Ali Gum’ah yang oleh didapati didalam website radicalmiddleway.com dan Buku beliau At-Tariq Ilat Turaath Al-Islaamiy)

Ini jauh sekali daripada bermakna bahawa Syari’ah itu tidak begitu penting, yang menjadi masalahnya adalah apabila kita terlalu terobses dengan betul atau salah tanpa melihat juga kepada aspek akhlaq. Yaitu soal baik dan buruk. Soal etika.

Baik, kita terima bahawa lensa atau kemampuan akal manusia berbeza-beza.
Namun adakah ini bermakna bahawa tiada jalan langsung untuk merapatkan jurang perbezaan pendapat antara kita?

Falsafah memberikan cadangan-cadangan berikut yang bertujuan untuk membersihkan dan menguatkan kemampuan lensa yang sekaligus akan merapatkan jurang perbezaan pemikiran.

1) Mengalakkan supaya kita mempersoalkan prinsip-prinsip yang kita pegang selama ini yang mana tanpa kita sedari adalah warisan daripada orang lain yang telah menyusup masuk kedalam pemikiran kita.

Kerana ramai tidak bererti benar, lama tidak bererti teguh dan disenangi tidak bererti bermanfaat. Ini yang dilakukan oleh Al-Imam Al-Ghazali , yang kini dipanggil sebagai As-Syak Al-Manhajiy. Yaitu Syak yang membawa kepada keyakinan.

Imam Al-Ghazali mengatakan frasa indah ini didalam bukunya “Al-Munqidh Mnad Dholaal” :
“ Man lam yasyuk (Syak) lam yanzur, wa man lam yanzur lam yubsir, waman lamyubsir baqiya fil ‘amyi waddholaal”

Mereka-mereka yang pernah menyerang keimanannya sendiri atau terbuka untuk menerima kritikan orang lain sudah tentu akan keluar daripada serangan dan kritikan tersebut dengan prinsip dan keimanan yang lebih kuat dan lebih teguh daripada mereka2 yang tidak pernah mepersoalkan atau diserang pegangan mereka, kerana sejauh mana kekuatan pegangan tersebut belum diketahui.

Kerana ada beberapa perkara didalam dunia ini yang jikalau belum dibakar dengan api, dan dihentam dengan besi kecantikan dan kekuatannya tidak akan menyerlah.

2) Falsafah menekankan kepada kita bahawa didalam proses pemikiran, banyak kesilapan yang boleh berlaku tanpa kita sedari, kerana ia berkait rapat dengan sikologi manusia. Ini dibincangkan didalam Ilmu Mantiq dan ilmun Nafs yang juga dulunya adalah cabang daripada ilmu falsafah.
Ia dikenali sebagai thingking fallacies, atau kesilapan2 didalam berfikir dan berhujjah.

Contoh :

- Hujjah menggunakan autoriti, nama dan imej. “Enta siapadia siapa…dia sheikh tau…”
- Perumpamaan yang tidak kena. Contoh. “ Bila anta kata akal itu tinggi anta macam orang yang telah diberikan emas(wahyu) tapi masih nakkan perak”.
- Mengambil kekuatan daripada emosi. Contoh. “ Hadith-hadith sahih itu mesti benar semuanya…tak kesian ke dengan pengorbanan ulama2 kita yang mengumpulkan hadith..penat lelah mereka…peluh dan darah mereka…”

Dan sebaginya, falsafah menekankan peri pentingnya kita sentiasa memeriksa cara kta berhujjah demi untuk memastikan natijah pemikiran kita semakin hampir dengan kebenaran

3) Falsafah menekankan, bahawa akal pemikiran manusia memiliki potensi yang besar, bukan setakat menghafal fakta dan informasi yang telah ada, bukan setakat mengamalkan penyelesaian yang telah dilakukan sebelum ini, akal juga mempunyai kemampuan mencipta sesuatu yang baru ,mencipta penyelesaian yang baru dan memahami sesuatu dengan kefahaman yang baru.


4) Falsafah juga menekankan bahawa kemampuan akal ada hadnya.Namun yang sering menyesatkan manusia bukanlah banyak sangat berfikir, sebenarnya kurang befikirlah yang mempunyai potensi yang lebih besar untuk menyesatkan manusia. Kita lihat apa yang dikatakan oleh Francis Bacon ahli sains dan ahli falsafah barat yang terkenal :

“Falsafah yang sedikit menjauhkan sesorang daripada agama, dan falsafah yang banyak dan dalam akan mengembalikan manusia kepada agama”


Kita lihat bagaimana besar persamaan diantara cadangan2 diatas ini dengan apa yang diajarkan Islam. Ini tidak harus mengejutkan kita, ini dikeranakan ada sebahagian ulama falsafah yang mengatakan bahawa falsafah yang sampai pada kita pada hari ini sebahagiannya adalah extraction yang dilakukan oleh ahli falsafah silam daripada nilai2 tertinggi agama2 samawi yang diturunkan sebelum nabi Muhammad.

Apa yang harus diambil daripada perenggan diatas bukanlah Falsafah itu bersumber daripada wahyu dan sama taraf dengannya, tidak, yang harus kita faham adalah, falsafah memiliki banyak hikmah dan kebijakan yang dikumpul oleh manusia-manusia bijak sepanjang sejarah manusia, untuk menolaknya seratus peratus dengan mengatakan bahawa Islam memiliki segala-galanya sebenarnya mengambarkan satu sikap yang sangat angkuh dan penakut.

Sikap ini tidak seharusnya disamakan dengan pendirian Al-Imam Al-Ghazali ketika beliau menukar pendapatnya daripada mempertahankan falsafah kepada mengatakan bahawa ilmu falsafah ini menyesatkan.

Benar itulah pendirian terakhir Al-Imam Al-Ghazali, dan beliau yang seperti mana yang kita tahu, beralih kepada aliran kesufian. Berulang kali didalam kitabnya Al-Munqidh Minad dholaal beliau menekankan bahawa jalan kesufian adalah jalan yang paling bersih dan yang paling benar untuk menuju kepada Tuhan.

Namun ana merasakan bahawa akalnya yang aktif dan berani, serta pengalamannya melalui fasa As-Syak Al-Manhaji (Methodological Doubting) yang dikenali sebagai fasa pertama yang harus dilalui oleh ahli falsafah (Golongan yang mendambakan pengetahuan yang bebas daripada syak)
mempunyai peranan didalam menentukan pendirian terakhir beliau. Jika beliau tidak mengkaji dengan akal yang terbuka aliran batiniyyah, kalam dan falsafah pada zamannya dengan kaca mata seorang ahli falsafah,ada kemungkinan disana bahawa pendirian akhir beliau juga akan turut berbeza.

Satu lagi perkara yang harus ditekankan adalah; untuk menganggap bahawa falsafah itu benar semuanya dan akal pula adalah ma’suum adalah suatu yang bukan setakat angkuh, tetapi juga satu kebodohan yang memalukan.

Ini adalah kerana, tidak semua pendapat didalam ilmu falsafah itu berpaksikan wahyu yang bersih.
Sedangkan akal manusia itu terhad kemampuannya, tiada ahli falsafah yang menafikan ini.

Oleh itu dengan turunya wahyu terakhir, manusia tidak lagi mempunyai alas an untuk mengelakkan diri daripada berfalsafah atau berfikir secara mendalam, kerana penjaga sudah ada, manusia harus berusaha dengan akal mereka dan bukan sahaja dengan manjanya menyerahkan segalanya kepada naql,dan segala yang diterima sebagai falsafah sebelum turunnya wahyu terakhir harus diperiksa dan diislamkan serta dibuang unsur-unsur yang bercanggah dengan world view Islam,tetapi bukan dibuang semuanya,kerana dengan membuang semuanya kita sebenarnya menghina antara ciptaan Allah yang paling mulia,yaitu a’qal, sedangkan didalam Al-Quran tiada nas yang menghina aqal manusia, sebaliknya kita dapati perkataan aqal dan fikir didalam Al-Quran sentiasa digunakan dengan konotasi yang positif.

Kewujudan naql tanpa aql tidak berfaedah,sama seperti cahaya yang tiada gunanya bagi seseorang yang buta, dan aql tanpa wahyu pula bak mata yang celik didalam gelap tanpa cahaya, juga tiada gunanya.

Akhir sekali,harus juga diingat bahawa aqal bukanlah satu-satunya sumber ilmu.Disana ada sumber ilmu yang lebih tinggi.

Ahli falsafah Islam juga tidak menafikan akan wujudnya satu sumber ilmu selain aql,ilmu yang bebas daripada ikatan a’aadah dan hukum alam fizikal. Ini jelas kita dapati didalam buku-buku Ibn Sina, Ibn Tufayl dan Ibn Rushd dan sudah tentu As-Suhrawardi, mereka sering menggunakan analogy ini yang dikongsi sama dengan para sufi :

Hati manusia itu bagaikan cermin, ia harus digilap dan dibersihkan daripada kekotoran, sehingga apabila ia telah bersih, ilmu daripada lauh mahfuz akan terpancar pada cermin tersebut dengan gambaran yang sangat jelas, pancaran yang tidak mampu didapatkan oleh mereka yang belum membersihkan cermin tersebut .

Ini adalah pemberian yang Allah berikan kepada siapa sahaja yang dikehendakinya.

“ Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari kami, dan kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi kami “ - Al-Kahf : 65

Naql dan aql, tidak mampu dipisahkan daripada satu sama lain oleh sesiapa pun,baik golongan yang menghina aqal sendiri dengan merendahkan martabatnya, mahupun golongan yang menghina aql dengan meninggikannya melebihi kemulian naql yang suci.

Wallahu A’lam Bisaawaab.

Wassalam.


Muhd Noor Bin Muhd Deros
B.A Akidah & Falsafah Al-Azhar University

Kebenaran...Kebahagiaan

Sepanjang sejarah…manusia tidak pernah berhenti mencari kebahagiaan…
Dimana pun ia manusia akan mencarinya…bahkan ada yang berpandangan
bahwa mencari kebahgiaan adalah tujuan utama manusia…tiada lain.

Sayangnya manusia itu dijadikan singkat,diberatkan lagi…dia tidak
suka pada kesingkatan.

Manusia mencari kebahgiaan itu berperingkat…

Bermula dengan mencarinya diluar diri…
Kemudian menoleh kedalam diri…
Kemudian mendongak keatas lebih tinggi dari diri…

Gagal, separuh gagal, berjaya sepenuhnya…

Berapa lamakah yang diperlukan manusia untuk mencapai kepastian bahawa
kebahagiaan tidak akan ditemui diluar diri…kebahagiaan tidak datang
mengikut arah landasan luar kedalam…kerana sesuatu yang luar yang
bukan dari dalam payah ditentukan ketulenannya…kerana ia asing…ia
selalu menipu…

Tabiat penipuan? merasa nikmat sebentar…kemudian menanggung kesan
yang jauh lebih buruk daripada nikmat sebentar yang diperolehi…macam familiar?

Kenapa masih rasa kosong jugak…mane bende bahgia tu…?

Bermulalah proses melihat kedalam diri…
Baru menyedari bahwa diantara mata diri dan objek luar diri ada lensa
yang menentukan apa yang dilihat dan apa yang diterima…
lensa itu mampu mewarnikan yang hitam…mengindahkan yang buruk…ia
seperti cermin mata anaglyph yang membuat kita nampak image yang 2d seperti 3d
sedangkan realitinya adalah 2d…(cemin mata analgyph to cemin mata dengan
lensa biru/hijau dan merah untuk jadikan image 2d kpd 3d)jangan
mengeluh….lensa itu sengaja diadakan….untuk menguji…manusia tidak
mampu membuang lensa itu…kerana dia menyangka lensa itu adalah
sebahagian daripada realiti…kecuali ada yang menyedarkan…

Namun ada yang masuk terlalu dalam ke dalam diri…melebihi
had ‘dalam’…sehingga menembus kedalaman itu dan terkeluar
kembali…dia pergi terlalu dalam kerana menyangka bahawa kebahagiaan
berada disitu…ia tiada disitu…
yang berada disitu hanyalah salah satu alat yang harus digunakan untuk
mencapainya…

Sesuatu yang dicipta tidak mampu bergantung kepada yang
dicipta …manusia dicipta…kebahagiaan juga dicipta…manusia tidak
puas dengan kesingkatan…sesuatu yang berada didalam sesuatu yang
singkat juga semestinya singkat…dan sesuatu yang singkat bukan
kebahagiaan hakiki…kebahagiaan tidak berada didalam diri manusia…

Selepas melihat ke depan dan kebawah, tinggallah dia untuk melihat
keatas…

Lensa tersebut tidak akan menganggu proses melihat keatas? Tidak,
sebaliknya lensa itulah yang akan berasa terganggu…kerana ia hanya
dicipta berfungsi unuk melihat kedepan dan kebawah saja…anaglyph
dicipta untuk lihat image 2d sahaja untuk dijadikan 3d…

Disaat manusia melawan ego diri untuk melihat keatas…disaat itulah
secebis daripada syurga akan dinikmati…

Seperti seseorang berada didalam penjara…tidak melihat matahari atau
bulan…dia hanya mendapat informasi daripada penjaga penjara…yang
dari masa ke masa memberikan informasi yang salah…yang salah itulah
yang akan menjadi realiti banduan itu…

Namun jika dia keluar daripada penjara tersebut…dia akan melihat
realiti yang berbeza…kerana lensa penipu itu tiada lagi…

Kutu2 dibawah bulu seekor arnab tidak akan tahu bahwa mereka berada
diatas seekor arnab jika mereka tidak cuba untuk memanjat bulu arnab
itu untuk naik keatas…bila diatas baru dia akan melihat bahawa
realiti yang disangka selama ini sebenarnya bukanlah realiti…

Manusia juga hanya akan melihat realiti bila mendongak keatas…bila
dia melihat keatas lensa analgyph itu akan ditauhidkan…
dineutralkan….lensa itu akan hanya memiliki satu warna…dan akan
hilang fungsinya…baru manusia akan melihat realiti dalam bentuk
hakikatnya…

kebenaran adalah kebahagiaan hakiki…

Bersemangatlah didalam mencari kebenaran dan perjuangkanlah ia dengan
sepenuh jiwa…wahai teman2 ku sekalian…

Wassalam…

Sejuk

Salam teman2 sekalian…

Ditengah malam yang indah lagi sejuk abes ni…teringat pat korang
plak…apasal eh…?

Bile aku nga sejuk…aku ingat korg…bile sejuk = ingat korg…manusia
akan cari kehangatan bila kesejukan…dan kehangatan adalah
semangat…kuasa…wahai semangat2 ku dan kekuatan2 masyarakat
sekalian…apa khabar semuanya…?

Rasanya dapatlah diredakan sedikit kesejukan ini dengan mengambil
sedikit daripada kehangatan semua…

Namun sebelum itu..harap2 semua masih hangat… masih panas… masih
bersemangat…dan masih berkekuatan…

Diharap kehidupan seharian…yang kadangkala dipanggil
terendah…penipuan…ladang…tempat rehat bawah pokok…syurga
penolak kebenaran…tidak merendahkan pandangan kita daripada melihat
keatas kepada melihat kebawah…harap tidak dapat menipu kita sehingga
membuat kita melihat keadaan tertipu itu indah…

Diharap kita semua bercocok tanamlah dengan seluruh kekuatan…dan
harapkanlah sesuatu yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada hasil
yang akan diperolehi diladang itu…

Dan harapan diri ini agar kita semua tidak menjenguk pun ke syurga
itu…kerana ia sememangnya bukanlah tempat kita…

Manusia itu naatiq…manusia itu terkesan denga apa yang mencecah
pancainderanya…

Manusia keliru dan tertanya mengapa ada sang pembawa lilin yang lebih
suka melihat kearah yang bertentangan dengan lilin yang
dipegangnya…dia memegang lilin itu dihadapan sedangkan kepalanya
menoleh kebelakang…dia memegang lilin di belakang namun dia berjalan
kehadapan…dia masih gembira teraba2 didalam kegelapan…

Namun dia masih memegang lilin tersebut…mengapa tidak dia buang saja
lilin tidak dia gunakan itu…

Hah! dia masih merasa perlu padanya…

Perlu padanya disaat dia merasa keperluan…
Perlu padanya kerana dia merasa manusia berlilin didalam kegelapan
lebih mulia daripada mereka yang tidak berlilin…ia adalah asetnya
untuk menaikkan harga diri yang sememangnya murah…

Mungkin dia tidak merasa lilin itu perlu? atau mungkin dia tidak
menyedari akan kewujudan lilin itu…? mustahil…atau mungkin dia
sememangnya sudah buta…lantas merasa lilin tersebut tidak membawa
apa2 makna kecuali harga diri…

Na’uuzu Billahi jamii’an min zaalik..

Luahan Seruan Seorang Melayu

Luahan Seruan Seorang Melayu

Oleh : Muhd Noor Bin Muhd Deros

Melayu itu bangsa bijaksana
Maksud disampai beralas berbunga
Namun bila diseru menuju jaya
Melayu pun layu alasan berjuta

Berhibur melayu memang bijaksana
Meniru mengikut tiada tandingnya
Hiphop bajunya Jepun rambutnya
Slack seluarnya kemik hidungnya

Jika sang cermin itu berlidah
Pasti melayu kan disergah

Namun melayu takkan berdiam diri
Akan dibalasnya yang penting hati!

Bagaimana hati kan bersih jika akalnya mati?

Jika dunia bertanya
Apa kau beri apa kau sumbang
Melayu menjawab jangan digusar jangan dibimbang
Kan orang lain masih menyumbang

Takkan melayu hilang di dunia
Janji Hang Tuah laksamana merdeka
Apa nilai ada jika wujud tidak dirasa?
Tubuhnya merdeka akalnya hamba?

Merendahnya melayu bukan menyembah
Meningginya bukan melonjak megah.
Bagaimana mungkin melayu melonjak megah
Bukankah berjalannya dia masih dipapah?

Menikam dari belakang
Menyihir hingga ke jinjang
Mengata hingga memanggang
Itu cara melayu di gelanggang

Bila diimbas sejarahnya melayu
Tidak terlintas gambaran nista
Raja laut melayu bertakhta
Luas sempadan dalam kuasanya

Kembaranya luas telitinya bernas
Budayanya mulia maqsadnya jelas

Sayangnya…
Yang tinggal kini hanyalah bekas

Sayangnya Tuhan kasihnya Nabi
Islam bertandang bersinar bakti
Menerangi Melayu akal dan hati
Semoga menjadi khalifah Ilahi

Sinar terbitnya menyilau mata
Menyilau mata yang bergelapnya lama
Bagai si baru celik menghadap pelita
Sakitnya sedikit kemudiannya reda

Namun melayu bersakit tidak tahan
Berpenat sedikit tidak keruan
Melayu menyerah lalu melawan
Buat apa bersakit buat apa berangan?
Apa yang ada syukur saja pada Tuhan…

Itu jawapannya melayu…

Sekalipun janjinya berlipat keuntungan

Sang mentari sudah menyinari
Ayam berkokok penat menanti
Selimut ditarik bergelap lagi
Sudah dikejut berdengkur kembali

Bagaimanakah Melayu
Di abad dua puluh Satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu ?

Mengapa takut melanggar pantang
Jika pantang menentang kemajuan

Mengapa segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran

Janganlah adat diislamkan
Biarlah Islam yang diadatkan

Janganlah Islam disalahertikan
Ia cahaya bukan Kegelapan

Janganlah Islam disalah amalkan
Ia membina bukan menghinakan

Jadilah bangsa yang berjaya
Bersih hatinya bernas akalnya
Teguh jiwanya Kuat usahanya
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi ummah pemandu maya.

Aamiin Ya Rabbal Alamiin…
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali setelah mereka menggubahAPA YANG BERADA DI DALAM DIRI MEREKA…(Yaitu Akal dan Hati) ”
Al-Quran, Surah Ar-Ra’d Ayat 11.

Loving The Embodiment of Mercy s.a.w

Langkah pertama ku bertanya pada diri
Mampukah perkataan mencerminkan hati
Memantulkan memancarkan segala isi
Tanpa ada yang masih tinggal tersembunyi

Sungguh mampunya ia tidak ku percaya
Jikalau segala isi itu hilang Faslnya
Dunia ini kan menjadi Syurga dan Neraka
Tidakkan ia menjadi cobaan sang Pencipta

Biarkan ia didalam ketidaksempurnaanny a…
Tidakkah banting tulangnya si lemah itu mulia?
Tanpa lemah dari mana kan datangnya usaha?
Tanpa usaha tiada haknya manusia menerima Cinta…

Beranikan diri mu wahai jiwa yang cinta
Jika cinta itu asli benar ketulenanya
Kepayahan kesusahan kan hilang ertinya
Untuk si lemah cinta itulah kekuatannya

Mampukah hati untuk menolak kasih
Terdayakah hati untuk memendam cinta
Pada Dia yang tiap nafas yang ditariknya
Tidaklah kecuali demi kasih sayang dan cinta?

Kasihnya yang tiada mengenal sempadan
Cintanya yang merentas erti kemanusiaan
Mendakap alam yang meronta mendamba ihsan
Menyelamat jiwa yang tercungap kelemasan

Jika pengorbanan itu syarat hati untuk menyinta
Kalau khidmat dan budi itu pemarak kasihnya jiwa
Maka adakah kekurangan pada pengorbannya dia
Sehingga tiada ruang didalam hati ini untuknya?

Manikam itu masih berkilau memukau mata
Namun si Jauhari buta masih teraba-raba

Tidakkah cukup penyaksian musuh dan taulan?
Bahwa Yang Terpuji itu adalah insan luar kebiasaan?
Dimanakah had kekejaman dan bongkaknya insan?
Sehingga suapan kasih itu dibalas dengan gigitan?

Bila ditanya adakah benar cinta mu padanya
Kau menjawab Belah lah dada tanyalah ia
Kau berlagak lupa bahwa lidah boleh berdusta
Namun kau benar alpa akan si saksi kedua…
kelakuan takkan gagal mencerminkan jiwa…

Jika benar cinta mu sepenuh jiwa
Mengapa kau biar sang kekasih itu dinoda?

Kau menyusur perjalanan para pejuang
Kau menyarung pakaian perwira perang
Namun,bila dia diserang mara mu bukan ke depan
Tanpa gusar kau memerhati nun jauh dari belakang

Sedarkanlah jiwa mu, bangkitkanlah perasaanmu…
Sesungguhnya bukan dialah yang memerlukan cinta mu
Tetapi ketahuilah bahwa cinta itu seperti madu
Tanpa manis cinta hatimu bak tubuh yang sakit lesu
Lemah kekuatan penuh kekosongan tiada diperlu
Madu cintalah yang kan memberinya semangat baru

Kekasih pernah meluahkan pada sahabat2nya
Waha sahabatku Aku sangat rindu pada ikhwan2 ku…
Mereka yang tidak pernah melihatku tapi beriman padaku
Dengan cahaya pada dahi, tangan dan kaki mereka kan datang padaku
Akan ku sambut mereka nanti dengan curahan telaga Haudku!

Ketika Izrail menarik lembut rohnya yang Suci
Kekasih berkata. “ Ya Jibril…Sakitnya mati ini..”
Ya Allah…kau timpakanlah kesakitan sakarat ummati
Semuanya padaku biar aku yang menanggungnya sendiri…
Ya Jibril…Ummati Ummati Ummati…

Wahai insan makhluk akal dan jiwa…
Adakah disana manusia yang menyinta seperti cintanya dia?
Menderita berkorban seperti deritanya dia?
Merisaukan mereka yang tiada pernah ditemuinya.. .
Mendoakan mereka yang tiada penat menyakitinya… .

Sungguh akal ini tiada dapat menggapai hakikat cintamu!
Sungguh jiwa ini meronta kerna tiada dapat membalas kasihmu!

Wahai jiwa yang alpa bergetarlah bila MUHAMMAD disebut!!
Wahai hati turutilah bila lisan dituntut untuk menyebut!!

” InnAllaha wamalaikatahu Yusalluuna alannabiy….Yaa ayyuhal laziina aamanu sallu alaihi wasallimu tasliimaa… “

Ya Allah…
Cukuplah bagi kami kasih dan cintanya Engkau yang terpancar sempurna didalam Insan bernama (Saidina) Muhammad Sollallahu alaihi wasallam…

Muhd Noor Bin Muhd Deros

Tahu dan Rasa

Tahu dan rasa
September 30, 2008


Bismillah,Walhamdulillah Wassolatu wassalaamu ala rasulillah sollallahu alaihi wasallam.



Apakah sebenarnya yang berlaku didalam minda dan jiwa kita apabila kita melaungkan frasa ini?



“Islam yang terpancar sempurna daripada syakhsiyyah Baginda Sallallahu alaihi wasallam adalah rahmat bagi seluruh alam”

Ini adalah persoalan asas yang harus dijawab oleh setiap pejuang.

Tetapi apa perlunya kita kepada persoalan ini?

Ia perlu kerana untuk memastikan mana2 perjuangan mencapai tujuan, selain mengetahui misi dengan jelas, disana ada satu lagi elemen yang lebih penting.

Yaitu, sejauh manakan para pejuang benar2 merasakan bahawa perjuangannya itu perlu?

Merasakan sesuatu dengan jiwa adalah lebih kuat daripada mengetahuinya dengan akal.

Kita semua tahu bahawa Islam itu agama yang berpaksikan wahyu,dan antara sebab ia diturunkan antaranya adalah untuk menjadi rahmah kepada manusia.

Namun seringkali ia berhenti disitu, berhenti pada tahu. Jika ia tidak berganjak dan meningkat ke tahap kedua perjuangan akan tempang.

Kerana manusia bukanlah hanya makhluk yang tahu, ia juga adalah makhluk rasa dan jiwa.

Dan kesemua elemen2 tersebut; tahu, rasa dan jiwa adalah sumber alam dalaman bagi manusia, seperti sumber alam yang harus dimanfaatkan keseluruhannya jika ingin mengerah setinggi kekuatan yang mungkin begitu jugalah sumber alam dalaman, para pejuang harus memastikan kesemuanya dimanfaatkan didalam perjuangan.

Namun bagaimana ingin menjiwai bahawa Islam benar2 membawa rahmah kepada manusia?



Jawapannya adalah dengan pertama mengetahui, kemudian membuat perbandingan, kemudian jika perlu, kita gunakan kemampuan takhayyul yang dikurniakan Allah kepada kita. Dengan cara ini semi-realiti akan mampu diwujudkan didalam diri.Dan ia idak akan berlaku kecuali dengan usaha minda.

Perbandingan harus komprehensif serta bersih dan kritikal, jika tidak, akan menjadikan kita terbuka kepada serangan dari luar dan dalam. Kita tidak dapat lari daripada membuat perbandingan, kerana tanpa perbandingan nilai sesuatu perkara tidak akan mampu dirasai dan dijiwai.

Untuk menjadi pejuang yang kuat, tidak cukup hanya dengan setakat tahu daripada tahunya orang lain, tidak cukup setakat melihat dengan pandangan orang lain, dan sesungguhnya tidak cukup merasa dengan perasaan orang lain…



Ia harus berakar daripada dalam…dan harus teguh bertahan menempuh ribut taufan keraguan dan ketidakpastian dalaman.



Teman-teman yang dikasihi sekalian…tiada syak lagi…sudah tiba masanya kita bersama-sama melangkah ke tahap yang kedua…



Wassalam.

Kisah Kasih Rahmah Dan Fitrah

Kisah Kasih, Rahmah dan Fitrah

Oleh : Muhd Noor Bin Muhd Deros


Dengan kemuliaan manusia itu dicipta

Mulianya kerna memahami tanda dan makna

Hebatnya dia mengerti kerana membaca

Karamahnya kerana berhati serta berminda



Remehlah yang sebentar!

Terjulanglah yang kekal!



Namun dia tidak mampu selamanya begitu

Bersendirian suci bersih tanpa diganggu



Dia harus diuji!

Demi menzahirkan bukti

Sebelum dinobat sebagai kekasih sejati!



Si dalang dan si hitam pun datang bertamu

Bermulalah pertarungan antara dua regu

Syaitan dan nafsu…akal dan wahyu

Mana kan menang? Jiwa kan menjadi penentu…



Sayangnya bila dihujani tusukan ujian….

Ternyatalah mulia tidak bererti kebal



Bila dicuba terbukti ramai yang gagal…

Bila diserang ternyata insan itu dangkal



Gagal kerana menghina akal

Dangkal akibat meremehkan bekal

Sesat kerna dalam menimbang tidak cekal

Lemas kerna bodoh dan ungkal



Hinalah yang mulia kerna angkuh

Rendahlah yang tinggi kerna gopoh

Sesatlah pengembara kerna tiada penyuluh

Binasalah yang hebat bila rosaknya ruh



Namun manusia itu tiada mahu binasa

Kerna ingin kekal lah Khuldi dirasa



Kerna dahulu manusia jasadnya tiada

Maka bimbang binasanya tiada dirasa

Dapatlah ruh dan jiwa terus bertakhta…



Namun bila disarungkan jasad dari tanah

Bimbang binasa insan mula beralih arah

Tumpuannya kini adalah daging dan darah!

Jikalau dibiar tenggelam akibatnya sangatlah parah!



Ingatlah….

Jasad itu bagaikan harta,ia wasilahnya tujuan

Namun keras usahanya untuk menjadi tumpuan

Bila datangnya kaya berputiklah haloba

Bila ia tiada tamak berhenti ada



Bila jasad ada terciptalah benih serakah

Serakah berputik bila jasad dijunjung dan disembah

Jasad dijunjung bila minda dihinjak si ammarah

Jasad disembah akibat hasutan samiri dalam jiwa

Ingatlah!

Jasad bagai jambatan yang tujuannya adalah wasilah

Ia bukan seperti bahagia, sang tujuan si wasilah



Ingatlah!Manusia tidak boleh menanggalkan sendiri sarung jasad

Kerna dia tidak boleh menentukan bila ujian harus tamat!



Dibuang mati mak ditelan mati bapak…



“Dengan nama Tuhanmu yang maha Pengasih lagi maha Penyayang…”



“Dan Tuhan mu tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hamba-hambanya…”





Wahai hamba-hambaku mari berikan tanganmu….

Ayuh disampingku kupimpinkan perjalananmu

Ku ajarkanmu bagaimana mengatasi onak dan liku

Kau hanya perlu menggerakkan kakimu



Wahai hambaku

Ketahuilah bahwa…



Cengkaman jasadmu itu harus kau longgarkan

Ruang kemahuan tubuhmu harus kau sempitkan

Barulah rohmu dapat mengecap kebebasan

Dapatlah ia terbang kepadaku kembali dengan harapan

Selepas lama berpisah kan dapat dirasa manis pertemuan!



Wahai hamba-hambaku…



Kedua-dua kubu kuat dalam jasadmu harus kau tawan

Kubu yang bertembokkan alasan keperluan

Bertempat diantara dua peha dan dua geraham



Tentera kemestianmu harus menyergah tali barut keperluan!

Ia harus disiasat dipersoal dan harus kekal didalam tawanan!

Kerna keinginan seringkali bertopengkan keperluan!

Awas!!Keinginan seringkali bertopengkan keperluan!









Wahai hamba-hambaku mari berikan tanganmu….

Ayuh disampingku kupimpinkan perjalananmu

Ku ajarkanmu bagaimana mengatasi onak dan liku

Kau hanya perlu menggerakkan kakimu



Wahai Kekasih-kekasihku…



Jika dapat kau lakukan maka kau nantikanlah

Ganjaran dariku berlipat keuntungan

Pengorbananmu takkan ku sia-sia kan

Kerana sesungguhnya akulah Al-Hanaan!

Akulah Ar-Rahmaan dan Al-Mannaan!!



Sungguh curahan hujan kasih Al-Mannaan…

Tiada langit tiada bumi yang kan mampu menampung!

Walau dibantu langit dan bumi yang lain sekalipun!

Sungguh manusia itu makhluq beruntung!

Sungguh manusia itu makhluq beruntung!

Sungguh rahmah Ar-Rahiim itu maha agung!

Marah dan murkanya tetap digantung

Kerana besar rahmahNya masih membendung!



Wahai kekasih-kekasih hati…



Ingatlah sesungguhnya bila kau melakukan kebaikan sesungguhnya kau melakukan kebiakan untuk dirimu sendiri….



Kerajaan ku tidak bertambah hebat kerna hebatnya ibadahmu!

Dan keagungan ku tidak menjadi kurang kerna kealpaanmu!

I’zmah ku tiada kan pernah terganggu

Izzahku kan terus kekal atas kekalnya zatku



Sesungguhnya hari ini adalah hari bukti!

Hari kepulanganmu kepada ciptaan asli!

Latihan yang dilalui akan menambah sakti!

Bekalan menempuhi ranjau sebab hidup dan mati!



Wahai jiwa!Kembalilah kau kepada fitrah!



Selepas jasad kau tawan!

Selepas nafsu kau lawan!

Selepas akal dan wahyu kau kahwinkan!



Wahai jiwa!Kembalilah kau kepada fitrah



Fitrah yang ingin mengenaliku!

Fitrah yang ingin menyintaiku!

Fitrah yang ingin berlari mendakapku!



Jangan kau bisukan permintaannya

Jangan kau matikan harapannya!



Berjuanglah terus demi memastikan suara-suara itu terus hidup!



Teruskanlah perjuanganmu!

Aku kan senantiasa disampingmu!



Ingat!Tidak sekali-kali aku yang meninggalkanmu!

Engkaulah yang sering merasakan kehadiranku menyusahkan mu…!



Namun Sungguh rahmahku itu maha agung!

Marah dan murkaku tetap kugantung

Kerana besar rahmahKU masih membendung!

Bagai seorang ibu yang tiada kan sanggup membuang anak yang dikandung

Demikian rahmah seorang ibu ketahuilah sungguh rahmah ku jauh lebih agung!

Ingatlah Rahmah ku jauh lebih agung!



Ceritakanlah pada mereka kisah kasih rahmah dan fitrah ini!

Rahmah agung bersaksikan langit dan bumi!

Peringatan bagi yang masih berakal dan berhati!

Supaya diketahui sebabnya kehidupan ini!

Syariah.Falsafah.Akal.Etika.

Syariah.Falsafah.Akal.Etika.
Muhd Noor Bin Muhd Deros



Falsafah dari segi bahasa berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu Philo dan Sophia, yang bermakna cinta (Philo) dan hikmah (Sophia).Dengan erti kata lain falsafah bermaksud cinta kepada ke bijaksanaan.

Dari segi istilah pula ia bermaksud usaha memahami hakikat (Reality & Truth) sesuatu perkara,iaitu usaha minda yang kuat untuk melepasi aspek bentuk, dan menuju kepada titik hakikat perkara tersebut.

Kemungkinan ada yang akan berhenti pada perenggan diatas kerana tidak selesa dengan perkataan falsafah itu sendiri. Ya, ia memang perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani, ia bukan berasal daripada bahasa arab,ia tidak disebut didalam Al-Quran, dan tiada juga disebut didalam Sunnah.

Disini, setiap daripada kita seharusnya berhenti sejenak dan bertanya soalan ini pada diri sendiri; adakah adil untuk menolak sesuatu perkara hanya kerana tidak selesa dengan asal usul nama perkara tersebut? jika suatu hari emas dipanggil dengan nama lain seperti tanah, adakah ia menggurangkan nilai emas tersebut secara hakikatnya? Begitu juga jikalau tanah pada suatu hari dipanggil emas, adakah secara hakikat nilainya bertambah?

Tujuan persoalan ini adalah untuk mengarahkan kita untuk melihat pada hakikat sesuatu perkara, melepasi sempadan nama dan bentuk, yang hanya mewakili sebahagian daripada hakikat perkara tersebut.

Telah menjadi kebiasaan manusia untuk sentiasa mengikat sesuatu idea dengan personaliti, sehingga kadangkala payah untuk diterima didalam pemikiran bahawa idea dan personaliti adalah dua perkara yang berbeza.Dan ini biasanya menimbulkan masaalah.

Falsafah (Cinta kepada Hikmah) tidak harus kita satukan dengan personaliti pemikir-pemikir Yunani, seperti Socrates, Plato dan Aristotle,sehinggakan kita menyangka bahawa berfalsafah (Aktiviti mencintai Hikmah dan usaha untuk mendapatkannya) hanyalah milik dan monopoli pemikir-pemikir Yunani tersebut.

Hakikatnya adalah tidak sama sekali, saya percaya bahawa semua bangsa tanpa kecuali mencintai Hikmah dan kebenaran. Dengan ini sesiapa sahaja, daripada bangsa mana sekalipun dan agama apa sekalipun, jika dia cinta akan hikmah dan kebenaran, seterusnya berusaha keras untuk mencapainya dia bukan sahaja berhak tetapi seharusnya dipanggil sebagai seorang failusuf,philosopher atau ahli falsafah.

Dan sebahagian ulama kibar kita memahami perkara ini.

Didalam Bukunya Tamhid Li Tarikhil Falsafah Al-Islaamiyyah Dr Mustafa Abd Razzaq menukil daripada kitab Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal, dimana ketika Imam Ahmad memuji dan menceritakan tentang manaqib Al-Imam As-Syafi’I beliau mengatakan ini :

" الشافعي فيلسوف في اربعة اشياء: اللغة واختلاف اللسان والفقه والمعاني "

“Al-Imam As-Syafi’I adalah seorang ahli falsafah didalam empat perkara : Didalam ilmu bahasa arab, ilmu perbezaan lidah dan lahjah, ilmu Fiqh dan Ilmu Ma’aaniy (Balaghah)”

Kita lihat Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal menggunakan perkatan failusuf untk memuji Al-Imam As-Syafi’i.

Bagaimanakah seorang ulama yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai pengikut Sunnah yang hakiki serta penentang segala bentuk bid’ah (termasuk falsafah) seperti Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal boleh mengatakan tukilan diatas?

Ini menunjukkan bahawa beliau memahami makna asal perkataan falsafah, beliau memahami bahawa falsafah atau cinta hikmah dan pemikir Yunani bukanlah dua perkara yang melazimi satu sama lain, beliau memahami perbezaannya.

Namun persoalannya adalah, mengapa perkataan ‘Falsafah’ yang digunakan?

Ini adalah kerana, daripada berpuluh-puluh ketamadunan silam yang semestinya memiliki manusia-manusia yang mencintai hikmah dan kebenaran, umat Yunani sejauh penemuan sejarah dan arkeologi hingga ke hari ini boleh dikatakan sebagai bangsa pertama yang didapati membentuk falsafah menjadi satu badan ilmu yang sistematik,yaitu dengan menyenaraikan mauduk-mauduknya, mencipta metodologinya dan melakar strukturnya.

Ini sangat jelas tidak bermakna bahawa umat lain tidak berfalsafah, bangsa Cina, India,Parsi dan yang lainnya juga memiliki pemikir-pemikir hebat. Namun aktiviti berfalsafah dalam bentuk yang sistematik tidak ditemui didalam sejarah mereka, atau kemungkinan belum ditemui.

Falsafah sangat berbeza dengan adat dan budaya, kerana adat dan budaya adalah sesuatu yang diwarisi tanpa melalui proses penapisan yang teliti dan berterusan.

Falsafah pula tidak begitu, ia sentiasa dikritik dan diperiksa sedalam-dalamnya sepanjang sejarah ilmu falsafah, kita lihat bagaimana pendapat Aristotle selepas diserang habis-habisan oleh Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Ibn Taymiyyah tetap terus ditapis dan diperbetulkan hingga ke hari ini.

Ini menunjukkan ketinggian falsafah dan kejujurannya, kerana tiada mauduk dan tiada pemikir didalam bidang falsafah yang tidak boleh dikritik,ilmu falsafah itu sendiri boleh dikritik, dan telah pun dikritik oleh ramai pemikir ulung umat manusia.

Disinilah terletaknya nilai falsafah. Ia adalah akumulasi pendapat-pendapat terbaik daripada pemikir-pemikir terulung didalam sejarah manusia selama beribu tahun.

Apakah ciri-ciri seorang ahli falsafah?

Ahli falsafah adalah mereka-mereka yang cinta kepada kebijakan & pemikiran yang dalam, benci kepada kesembronoan, kecetekan didalam menafsirkan sesuatu serta sentiasa menentang mereka-mereka yang memperlekehkan kemampuan akal.

Martabat akal adalah sangat tinggi didalam pandangan falsafah. Kerana akal adalah lensa diantara manusia dan wahyu /Tuhan, manusia dan alam, serta manusia dan manusia.

Lensa yang jelas,kuat dan bersih, mampu melihat sesuatu yang tidak mungkin dilihat oleh mereka yang tidak memiliki lensa dengan kualiti yang sama.

Ini adalah antara sumbangan besar falsafah kepada manusia, ia menekankan bahawa realiti sesuatu perkara berbeza-beza didalam pemikiran manusia dikeranakan kemampuan lensa masing-masing yang berbeza-beza.

Islam dan akal

Sepotong ayat Al-Quran dan Hadith, seringkali difahami degan maksud yang berbeza-beza,walaupun setelah persetujuan dicapai mengenai makna perkataan-perkataan yang terkandung serta Sabab Nuzul dan segala consideration yang harus diperhatikan sebelum membuat rumusan mengenai maksud ayat Al-Qura dan hadith itu tadi.

Antara faktornya adalah dikeranakan kualiti lensa manusia berbeza-beza.

Ada diantara kita yang akal dan pemikirannya telah lama dimanjakan dengan cara berfikir yang mudah dan cetek, serta tidak mampu (atau tidak ingin kerana malas) untuk memahami complexity atau kerumitan realiti kehidupan zaman moden. Ini berlaku apabila kita tidak ingin tahu akan enjin-enjin ideologi (berpaksikan falsafah barat) yang menggerakkan bumi serta aktiviti kehidupan manusia pada zaman ini.

Kemungkinan kita telah dimomok-momokkan oleh golongan yang sejenis pemikirannya. Dimomokkan dengan mengatakan bahawa jangan menyelam lautan tersebut, anda akan tenggelam, kerana ramai yang sudah tenggelam,saya sendiri sudah hampir tenggelam…

Ramai manusia menghukum kemampuan orang lain berdasarkan kemampuan dirinya sendiri, dan ini adalah sesuatu yang menakjubkan!

Apa yang mereka ingin tahu hanyalah, sama ada ini betul ataupun salah? Ini berdalil ataupun tidak?
Mereka tidak peduli akan soal baik dan buruk.

Memang benar yang benar itu baik dan yang salah itu buruk,namun jika kriteria menentukan betul dan salah hanya bergantung kepada teks atau naql, tanpa konteks dan aql, mudah saja apa yang dianggap benar akan berubah menjadi buruk dan apa yang dianggap salah menjadi sesuatu yang baik. Terlalu obsess dengan naql tanpa aql tanpa kita sedari akan menjadikan kita - Bak kata Sheikh Hamza Yusuf Hanson - ‘naqlheads’ atau knuckle heads. :D

Imam Fakhrudddin Ar-Raziy menafsirkan ayat “nur a’la nur” dengan mengatakan bahawa : Nur yang pertama adalah Wahyu, dan Nur yang kedua adalah akal. Kedua-duanya adalah Nur, cumanya Nur wahyu itu lebih tinggi.

Namun ini tidak bermakna peranan akal itu kecil didalam arena agama.

Dr Ali Gum’ah Mufti Mesir memberikan statistik yang menarik dan sangat penting ini :

Al-Quran mengandungi sebanyak lebih kurang 6000 ayat
Ayat ahkam pula tidak melebihi 300 ayat daripada keseluruhan Al-Quran yang berjumlah 6000.
Ini bermakna ayat ahkam hanya membentuk 5% daripada keseluruhan Al-Quran.

Hadith yang sampai pada kita pada hari ini pula berjumlah lebih kurang sebanyak 60,000 hadith.
Dan hadith ahkam pula adalah sebanyak lebih kurang 2000 sahaja, yaitu 3% sahaja daripada hadith2 yang terkumpul.

Sedangkan ahkam syar’iyyah yang terkumpul didalam buku2 fiqh adalah lebih kurang sebanyak 1.2million.

Kita lihat bagaimana 300 ayat Al-Quran dan 2000 hadith boleh melahirkankan sebanyak 1.2 million ahkaam?!

Bukankan ini jelas menunjukkan bahawa jikalau ulama kita yang terdahulu tidak memerah akal pemikiran mereka menyesuaikan naql dan aql dan hanya mengambil zahir nas, bagaimanakah ahkaam syar’iyyah boleh sampai mencecah 1.2 juta?

Dan disini kita juga boleh istinbaat satu lagi perkara penting.

3% sahaja daripada Al-Quran dan Hadith yang deal berkenaan soal Ahkaam syari’yyah.

Bagaimana dengan 97% yang baki?

Kita lihat apa yang dikatakan oleh Dr Al Gum’ah :

“ Sesungguhnya 97% agama kita yang telah lama kita abaikan adalah berkisar pada Aqeedah dan Akhlaq…”

(Statistik ini ana tukil daripada Video Lecture Dr Ali Gum’ah yang oleh didapati didalam website radicalmiddleway.com dan Buku beliau At-Tariq Ilat Turaath Al-Islaamiy)

Ini jauh sekali daripada bermakna bahawa Syari’ah itu tidak begitu penting, yang menjadi masalahnya adalah apabila kita terlalu terobses dengan betul atau salah tanpa melihat juga kepada aspek akhlaq. Yaitu soal baik dan buruk. Soal etika.

Baik, kita terima bahawa lensa atau kemampuan akal manusia berbeza-beza.
Namun adakah ini bermakna bahawa tiada jalan langsung untuk merapatkan jurang perbezaan pendapat antara kita?

Falsafah memberikan cadangan-cadangan berikut yang bertujuan untuk membersihkan dan menguatkan kemampuan lensa yang sekaligus akan merapatkan jurang perbezaan pemikiran.

1) Mengalakkan supaya kita mempersoalkan prinsip-prinsip yang kita pegang selama ini yang mana tanpa kita sedari adalah warisan daripada orang lain yang telah menyusup masuk kedalam pemikiran kita.

Kerana ramai tidak bererti benar, lama tidak bererti teguh dan disenangi tidak bererti bermanfaat. Ini yang dilakukan oleh Al-Imam Al-Ghazali , yang kini dipanggil sebagai As-Syak Al-Manhajiy. Yaitu Syak yang membawa kepada keyakinan.

Imam Al-Ghazali mengatakan frasa indah ini didalam bukunya “Al-Munqidh Mnad Dholaal” :
“ Man lam yasyuk (Syak) lam yanzur, wa man lam yanzur lam yubsir, waman lamyubsir baqiya fil ‘amyi waddholaal”

Mereka-mereka yang pernah menyerang keimanannya sendiri atau terbuka untuk menerima kritikan orang lain sudah tentu akan keluar daripada serangan dan kritikan tersebut dengan prinsip dan keimanan yang lebih kuat dan lebih teguh daripada mereka2 yang tidak pernah mepersoalkan atau diserang pegangan mereka, kerana sejauh mana kekuatan pegangan tersebut belum diketahui.

Kerana ada beberapa perkara didalam dunia ini yang jikalau belum dibakar dengan api, dan dihentam dengan besi kecantikan dan kekuatannya tidak akan menyerlah.

2) Falsafah menekankan kepada kita bahawa didalam proses pemikiran, banyak kesilapan yang boleh berlaku tanpa kita sedari, kerana ia berkait rapat dengan sikologi manusia. Ini dibincangkan didalam Ilmu Mantiq dan ilmun Nafs yang juga dulunya adalah cabang daripada ilmu falsafah.
Ia dikenali sebagai thingking fallacies, atau kesilapan2 didalam berfikir dan berhujjah.

Contoh :

- Hujjah menggunakan autoriti, nama dan imej. “Enta siapadia siapa…dia sheikh tau…”
- Perumpamaan yang tidak kena. Contoh. “ Bila anta kata akal itu tinggi anta macam orang yang telah diberikan emas(wahyu) tapi masih nakkan perak”.
- Mengambil kekuatan daripada emosi. Contoh. “ Hadith-hadith sahih itu mesti benar semuanya…tak kesian ke dengan pengorbanan ulama2 kita yang mengumpulkan hadith..penat lelah mereka…peluh dan darah mereka…”

Dan sebaginya, falsafah menekankan peri pentingnya kita sentiasa memeriksa cara kta berhujjah demi untuk memastikan natijah pemikiran kita semakin hampir dengan kebenaran

3) Falsafah menekankan, bahawa akal pemikiran manusia memiliki potensi yang besar, bukan setakat menghafal fakta dan informasi yang telah ada, bukan setakat mengamalkan penyelesaian yang telah dilakukan sebelum ini, akal juga mempunyai kemampuan mencipta sesuatu yang baru ,mencipta penyelesaian yang baru dan memahami sesuatu dengan kefahaman yang baru.


4) Falsafah juga menekankan bahawa kemampuan akal ada hadnya.Namun yang sering menyesatkan manusia bukanlah banyak sangat berfikir, sebenarnya kurang befikirlah yang mempunyai potensi yang lebih besar untuk menyesatkan manusia. Kita lihat apa yang dikatakan oleh Francis Bacon ahli sains dan ahli falsafah barat yang terkenal :

“Falsafah yang sedikit menjauhkan sesorang daripada agama, dan falsafah yang banyak dan dalam akan mengembalikan manusia kepada agama”


Kita lihat bagaimana besar persamaan diantara cadangan2 diatas ini dengan apa yang diajarkan Islam. Ini tidak harus mengejutkan kita, ini dikeranakan ada sebahagian ulama falsafah yang mengatakan bahawa falsafah yang sampai pada kita pada hari ini sebahagiannya adalah extraction yang dilakukan oleh ahli falsafah silam daripada nilai2 tertinggi agama2 samawi yang diturunkan sebelum nabi Muhammad.

Apa yang harus diambil daripada perenggan diatas bukanlah Falsafah itu bersumber daripada wahyu dan sama taraf dengannya, tidak, yang harus kita faham adalah, falsafah memiliki banyak hikmah dan kebijakan yang dikumpul oleh manusia-manusia bijak sepanjang sejarah manusia, untuk menolaknya seratus peratus dengan mengatakan bahawa Islam memiliki segala-galanya sebenarnya mengambarkan satu sikap yang sangat angkuh dan penakut.

Sikap ini tidak seharusnya disamakan dengan pendirian Al-Imam Al-Ghazali ketika beliau menukar pendapatnya daripada mempertahankan falsafah kepada mengatakan bahawa ilmu falsafah ini menyesatkan.

Benar itulah pendirian terakhir Al-Imam Al-Ghazali, dan beliau yang seperti mana yang kita tahu, beralih kepada aliran kesufian. Berulang kali didalam kitabnya Al-Munqidh Minad dholaal beliau menekankan bahawa jalan kesufian adalah jalan yang paling bersih dan yang paling benar untuk menuju kepada Tuhan.

Namun ana merasakan bahawa akalnya yang aktif dan berani, serta pengalamannya melalui fasa As-Syak Al-Manhaji (Methodological Doubting) yang dikenali sebagai fasa pertama yang harus dilalui oleh ahli falsafah (Golongan yang mendambakan pengetahuan yang bebas daripada syak)
mempunyai peranan didalam menentukan pendirian terakhir beliau. Jika beliau tidak mengkaji dengan akal yang terbuka aliran batiniyyah, kalam dan falsafah pada zamannya dengan kaca mata seorang ahli falsafah,ada kemungkinan disana bahawa pendirian akhir beliau juga akan turut berbeza.

Satu lagi perkara yang harus ditekankan adalah; untuk menganggap bahawa falsafah itu benar semuanya dan akal pula adalah ma’suum adalah suatu yang bukan setakat angkuh, tetapi juga satu kebodohan yang memalukan.

Ini adalah kerana, tidak semua pendapat didalam ilmu falsafah itu berpaksikan wahyu yang bersih.
Sedangkan akal manusia itu terhad kemampuannya, tiada ahli falsafah yang menafikan ini.

Oleh itu dengan turunya wahyu terakhir, manusia tidak lagi mempunyai alas an untuk mengelakkan diri daripada berfalsafah atau berfikir secara mendalam, kerana penjaga sudah ada, manusia harus berusaha dengan akal mereka dan bukan sahaja dengan manjanya menyerahkan segalanya kepada naql,dan segala yang diterima sebagai falsafah sebelum turunnya wahyu terakhir harus diperiksa dan diislamkan serta dibuang unsur-unsur yang bercanggah dengan world view Islam,tetapi bukan dibuang semuanya,kerana dengan membuang semuanya kita sebenarnya menghina antara ciptaan Allah yang paling mulia,yaitu a’qal, sedangkan didalam Al-Quran tiada nas yang menghina aqal manusia, sebaliknya kita dapati perkataan aqal dan fikir didalam Al-Quran sentiasa digunakan dengan konotasi yang positif.

Kewujudan naql tanpa aql tidak berfaedah,sama seperti cahaya yang tiada gunanya bagi seseorang yang buta, dan aql tanpa wahyu pula bak mata yang celik didalam gelap tanpa cahaya, juga tiada gunanya.

Akhir sekali,harus juga diingat bahawa aqal bukanlah satu-satunya sumber ilmu.Disana ada sumber ilmu yang lebih tinggi.

Ahli falsafah Islam juga tidak menafikan akan wujudnya satu sumber ilmu selain aql,ilmu yang bebas daripada ikatan a’aadah dan hukum alam fizikal. Ini jelas kita dapati didalam buku-buku Ibn Sina, Ibn Tufayl dan Ibn Rushd dan sudah tentu As-Suhrawardi, mereka sering menggunakan analogy ini yang dikongsi sama dengan para sufi :

Hati manusia itu bagaikan cermin, ia harus digilap dan dibersihkan daripada kekotoran, sehingga apabila ia telah bersih, ilmu daripada lauh mahfuz akan terpancar pada cermin tersebut dengan gambaran yang sangat jelas, pancaran yang tidak mampu didapatkan oleh mereka yang belum membersihkan cermin tersebut .

Ini adalah pemberian yang Allah berikan kepada siapa sahaja yang dikehendakinya.

“ Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari kami, dan kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi kami “ - Al-Kahf : 65

Naql dan aql, tidak mampu dipisahkan daripada satu sama lain oleh sesiapa pun,baik golongan yang menghina aqal sendiri dengan merendahkan martabatnya, mahupun golongan yang menghina aql dengan meninggikannya melebihi kemulian naql yang suci.

Wallahu A’lam Bisaawaab.

Wassalam.


Muhd Noor Bin Muhd Deros
B.A Akidah & Falsafah Al-Azhar University
Muslim Thinkers Department
En-Naeem Mosque