Wednesday, February 17, 2010

Sebuah Penghayatan lagu : M Nasir "Demi Masa"

(Penulisan dibawah adalah pendapat peribadi penulis, tidak semestinya mengambarkan makna sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis lirik, seniman terhormat M Nasir)

Lagu : http://www.youtube.com/watch?v=7Seu-MTBehA
Lirik : http://kealamtaknyatatapiada.blogspot.com/2009/01/demi-masa.html


Demi Masa : Sebuah Penghayatan

Oleh Muhd Noor Muhd Deros


Lagu ini meletakkan falsafah asasi dua ketamadunan besar didalam sejarah manusia saling berhadapan dan bertentang mata.

Yang satu pernah gemilang namun kini muram dan suram tetapi percaya bahawa roda putaran sejarah akan berpusing lagi buat kali yang terakhir, sedang yang satu lagi sedang bermaharajalela bergantung pada diri, membelah bumi, menikam langit, menghancurkan gunung-ganang.

Yang pertama percaya tahu – bukan percaya buta - bahawa disana ada sesuatu yang dipanggil Al-Haqq, kebenaran dan hakikat yang tidak berubah,yang kekal dan teguh, kerana itu mereka berbangga dengan lambang kotak empat persegi yang terletak ditengah-tengah dada bumi ini.

Sedangkan yang satu lagi ada alahan dengan perkataan-perkataan seperti ‘kebenaran’, ‘kekekalan’ dan ‘hakikat’, mereka mengatakan bahawa kehormatan manusia terletak pada usaha mencari yang berterusan dan tanpa berpenghujung, berpusing-pusing tanpa noktah, pendapat + pendapat yang bertentangan = pendapat baru, kemudian pendapat baru + pendapat baru yang bertentangan = pendapat terbaru…begitulah seterusnya. Oleh itu tidak hairanlah mereka memilih tugu berbentuk bola untuk diletakkan diantara bangunan berkembar kebanggaan mereka

(sila baca : http://en.wikipedia.org/wiki/The_Sphere)

yang kini telah hancur dipunahkan oleh…tangan dan penipuan mereka sendiri, mereka rela melakukannya kerana percaya pada; pendapat + pendapat yang bertentangan = pendapat baru. Atau lebih tepat lagi, mencerna + meroboh = menceroboh (Keimanan mahupun negara orang).

Lagu ini bermula dengan sebuah Syahadah, ataupun pengakuan dan kenyataan yang pasti. Aku telah melihatnya dan mendengarnya, bukan mengagak, menyangka dan percaya buta, dasar kehidupan dan sebab musabab kewujudan manusia di muka bumi ini sudah jelas dan nyata serta cukup sempurna dan terletak. Tempat semua perkara sudah jelas dan tuntas. Yang tinggal adalah untuk manusia berani mengangkat kaki berjalan menempuh ujian dengan bekalan yang sudah diberikan sebagai syarat untuk sampai ke destinasi yang sudah jelas.

Yang satu lagi tidak tahan lalu terkam menuduh…mengatakan bahawa itu semua adalah mimpi, pengalaman mu yang kau sangka realiti hanyalah mimpi dan permainan minda mu, aaah! Tiada yang pasti! Kerana pegangan dan kepercayaan inilah aku kini diatasmu! Jika kau ingin sepertiku maka kau harus bangun dari tidurmu!

Namun, si dia pernah mengingatkan kita, sesiapa yang ingin merebut takhta, maka jangan diberikan padanya, dia hanya akan merosakkan.

Ternyata yang mengaku tahu itu sebenarnya masih keliru, masih terkebelakang dan masih tunggang terbalik berusaha menjawab teka-teki kehidupan yang sememangnya sudah tersedia jawapannya…tersedia hanya untuk mereka yang mampu membuang angkuh dan faham benar makna sebenar bodoh.

Kerana itu, demi masa sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian. Rugi kerana membuang waktu mencari sesuatu yang sudah ada.

Perjalanan mereka dipayahkan lagi kerana membiarkan diri hanya merindui kilauan emas tapi alpa dengan yang mencipta…terkesima dan kagum dengan papan tanda,akhirnya terlepas pandang akan arah yang ditunjukkan papan tanda itu.

Namun jika diteliti, seakan-akan kerja keras minda mereka bukan untuk mencari kebenaran, melainkan untuk lari daripadanya, bukan tidak mengerti,tetapi tidak mahu, tidak mahu yang akhirnya membangkitakn rasa benci dan permusuhan dengan Al-Haq.

“Aku lebih baik darinya…aku tidak akan sujud!”

Namun mereka harus tetap berjalan…tidak tahu kemana, tidak tahu mengapa…akhirnya jatuh terjerumus, luka parah.

Ketika itu boleh sahaja diakhiri kehidupan ini, tetapi bukan sekarang, itu boleh dilakukan bila beban sudah terlalu berat dan tidak lagi mampu ditanggung. Kini pilihan yang ada hanyalah untuk bangun, bangkit kembali dan meneruskan perjalanan yang tidak berhaluan itu.

Bangun dan jatuh adalah lumrah bagi mereka, akhirnya mereka memaksa diri cuba untuk berbangga dengan jatuh dan bangun,dengan bina dan roboh, mereka kata ini kemajuan.

Ketamadunan yang satu lagi menjawab dengan sebuah pelawaan yang ikhlas…

“Jika kelak kau melihat aku tidur dan sedang bermimpi
Kuharap kau memahami keadaanku
dan mungkin kau ingin bersamaku
Bersama bermimpi dalam kenyataan yang satu.”

Siapa yang tidur siapa yang sedar? Permainan tidur pada kamu sedar pada kami, realiti pada kamu mimpi bagi kami.

“Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui.” Al-Ankabut : 64

Lagu ini kemudiannya ditutup dengan nada yang tegas. Jika kamu belum merasa apa yang kami rasa maka kamu tidak layak menafikan perasaan dan pengalaman itu, yang tahu hanyalah mereka yang pernah mengalami. Bagaimana mungkin kamu terlalu yakin bercakap daripada luar untuk menafikan sesuatu yang berada didalam pengalamanku? Apa kau ingin menyamakan semua perasaan yang ‘bermain’ di dalamanmu dengan apa yang didalam minda dan hati ku?didalam akal dan RUHku, yang memiliki peraturannya sendiri,yang mampu diramal dan mampu dikawal?

Sesungguhnya ini tidak mengherankan memandangkan kau masih terkial-kial mencari jawapan…siapakah dirimu? Kemanakah destinasimu…

Benar sekali…demi masa, sesungguhnya manusia sentiasa dalam rugi, kecuali mereka yang tahu…

Wallahu a’lam.