Wednesday, November 24, 2010

Islam, Kemodenan dan Kapitalisme

(Penulisan ini adalah berupa susunan kembali beberapa petikan daripada email-email saya kepada teman-teman seperjuangan)


Oleh : Muhd Noor Bin Muhd Deros


Bermula semenjak revolusi Perancis, seruan kepada penolakan agama secara total, modenisasi agama dan peminggirannya ke ruangan peribadi sentiasa terkait rapat dengan usaha mengekalkan dan menjaga kepentingan agama Kapitalisme. Kepala-kepala yang memekik slogan toleransi dan penyamarataan masonik antara agama pada fasa Pencerahan (Enlightenment) Barat adalah ahli-ahli ekonomi dan perbankan seperti John Locke, Jeremy Bentham, Adam Smith, Jacques Turgot dan John Stuart Mill.

"Whereas the Enlightenment invokes a specific movement in Western philosophy, modernity tends only to refer to the social relations associated with the rise of capitalism." (Tukilan mudah daripada Wikipedia)

Islam adalah satu-satunya agama yang masih teguh mengumumkan perang keatas riba. Rabbi-rabbi Yahudi telah reda dan sebati dengan ayat didalam Kitab Perjanjian Lama (Old Testament) yang menghalalkan pengambilan riba daripada orang bukan Yahudi. Agama kristian, akibat proses reformasi yang dimulakan oleh Martin Luther yang kemudiannya diteruskan oleh John Calvin telah menghalalkannya lebih kurang 400 tahun lalu. Hari ini Perbankan Islam pula adalah hasil daripada rasa tertekan umat Islam dengan slogan kemodenan, reformasi dan modenisasi yang datang dari Barat, Perbankan Islam telah dengan selambanya menerima pengamalan Fractional Reserve Banking dan penggunaan duit kertas. Demi Allah, kita sedang mengikut jejak langkah golongan Yahudi dan Nasrani ke lubang biawak.

Didalam setiap negara moden hari ini, rakyat di sorong mengejar dan mencari keperluan hidup dengan menyohorkan kaca mata “Survival of the Fittest” Darwin sehingga ekonomi dicanangkan sebagai wasilah terpenting bagi mencapai kebahagiaan dan dunia pula menjadi Mablagha I'lminaa (Satu-satunya perkara yang kita tahu). Ia dilihat sebagai cara hidup yang alami (natural). Dunia tidak cukup hasil untuk mengenyangkan semua orang, maka ia harus dicari bontang-banting oleh rakyat dunia. Rakyat dimomokkan dengan krisis ekonomi dan persaingan sengit antara negara-negara dunia, siapa yang lemah (tidak ingin atau tidak mampu mengikut cara mereka) akan tersingkir.

Antara kesannya di Singapura ini; kurang daripada 40% remaja melayu Islam yang mendapat pendidikan asas Islam. Kita tidak dapat menafikan bahawa sistem kehidupan hari ini adalah salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada krisis ini. Ibu bapa tidak mampu untuk mengambil berat soal pendidikan agama anak-anak kerana bimbang mereka akan tersingkir daripada lingkaran kehidupan atau kebih tepat lagi; tewas dalam perlumbaan dengan tikus-tikus mondok yang lain.

Agama seringkali dilihat sebagai kambing hitam dan penganggu perjalanan arus “alami” ini. Oleh itu, ia harus dididik dan di”maju”kan supaya tidak menentang arus kemodenan yang telah dicetuskan oleh Revolusi Perancis dan period “Pencerahan” Barat. Agama mesti sentiasa disesuaikan dengan kemodenan. Bukan sebaliknya. Kini kemodenan pula yang sudah menjadi satu agama baru untuk pak turut-pak turut yang sedia menurut tanpa menyoal.

Namun, masyarakat dunia masih disilaukan daripada penjenayah sebenar; sistem pendidikan "Islam" yang beracuankan sistem pendidikan moden dan sekular serta institusi perbankan.

Adalah menjadi tanggungjawab asatizah untuk paling tidak memahami isu-isu ini; hakikat institusi perbankan, kaitannya dengan sistem pendidikan "Islam" yang sekular dan masih terus disekularkan, falsafah sebenar disebalik konsep modeniti, konsep nation-state, hakikat duit kertas, fractional reserve banking dan kaitannya dengan keadaan dunia yang kini berada dalam fasa paling mundur sepanjang sejarah manusia sama ada dari segi hierarki keperluan Abraham Maslow mahupun dari segi Kerohanian.

Pada tahun 1999 The World Bank's Annual Review of Development Effectiveness mengeluarkan satu kenyataan; bahawa sepanjang sepuluh tahun (1990-1999) sistem ekonomi moden yang dikatakan maju ini telah menambah kadar kebuluran dunia sebanyak 25%, menggurangkan kadar GDP dan membuat harta hanya perpusing dilingkaran orang-orang kaya sahaja.

Setiap satu minit pada hari ini 20 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran, 1% sahaja rakyat dunia memiliki 40% keseluruhan harta dunia, 3 orang terkaya di dunia memiliki aset lebih besar daripada aset keseluruhan campuran 48 buah negara miskin yang dijerut oleh hutang. Krisis pemanasan alam juga berpunca daripada projek-projek besar negara-negara yang berhutang dengan bank-bank nasional, IMF dan bank dunia sebagai usaha membayar balik hutang tersebut berserta bunga dengan kadar yang melampau. Krisis ekonomi dunia yang masih belum berakhir hingga hari ini dan yang akan menjadi semakin buruk sehinggalah jatuhnya dollar Amerika sudah jelas penyebabnya. Projek-projek peperangan (Atau lebih tepat lagi; pengganasan) yang dilakukan oleh beberapa negara-negara “polis” dunia, sudah jelas tujuannya.

Jikalau kita berbicara soal prioriti, maka kita harus sedar bahawa Allah tidak mengumumkan perang pada perkara-perkara yang kecil.

يَـٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰاْ إِن كُنتُم مُّؤمِنِينَ (٢٧٨) فَإِن لَّم تَفعَلُواْ فَأذَنُواْ بِحَربٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ‌ وَإِن تُبتُم فَلَكم رُءُوسُ أَموَالكم لَا تَظلِمُونَ وَلَا تُظلَمُونَ (٢٧٩)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. (278) Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (279)”

Al-Baqarah : 278-279

Sila baca artikel ini :

http://mises.org/daily/4631

Penulisan ini jelas bukan setakat tentang isu ekonomi, tetapi bagaimana agama Kapitalisme ini daripada kehinaan sudah berubah menjadi satu agama yang universal dan memberi kesan yang besar pada pandangan alam umat Islam dan pandangan mereka kepada Islam itu sendiri. Kini,tiada negara yang tiada Bank Rakyat (Central Bank), undang-undang Legal Tender dan Hutang Rakyat (National Debt). Agama baru kefiraunan ini sama juga seperti Firaun, akan berusaha menghancurkan apa-apa atau sesiapa saja yang menentangnya.

Maka itu kita lihat, taring agama Yahudi dan Kristian sudah tercabut lama.Kini adalah giliran Islam.

Islam dipaksa supaya dimodenkan, diliberalkan, di progresifkan, Shariah di cerai-ceraikan, doktrin-dokrtin usulnya di minta supaya dikritik dan diperiksa kembali hanya atas alasan ia tidak selari dengan kemodenan itu sendiri. Seolah-olah moden itu semestinya baik, jangan dipersoalkan lagi.

Maka yang jelas haram mula kelihatan kabur. Ini disokong pula dengan slogan-slogan seperti; toleransi, kebenaran yang relatif, masing-masing ada cara pandang sendiri, dan memisahkan serta memperbesarkan dikotomi antara bentuk dan isi agama(Form and substance) memperlekehkan yang pertama dan hanya memberi kepentingan kepada yang kedua. Dengan cara ini apa-apa pun boleh dijadikan halal. Ini bukan Fiqh Maqasid (Tujuan-tujuan) Syariah tetapi Fiqh Mufsid (Perosak) Syariah.

Kita tidak patut lupa bahawa kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah bermula dengan kemasukan The Royal Ottoman Bank, ia datang bersamanya undang-undang Tanzimat yang telah mereformasikan undang-undang dan pendidikan Islam secara syariah kepada undang-undang dan sistem pendidikan sekular yang diimpor dari Barat. Dalam masa yang sama duit kertas diperkenalkan seiring dengan sistem pendidikan yang memisahkan antara ilmu Fardhu A’in dan Fardhu Kifayah. Proses ini telah menyiapkan jalan bagi Kamal Atartuk untuk menobatkan dirinya sebagai antara penjenayah-penjenayah terbesar didalam sejarah Islam.

Pada hakikatnya, Khilafah Uthmaniyyah telah ditumbangkan oleh tiga slogan (racun) ini; reformasi, (Bukan Islah mahupun Tajdid) modeniti dan rasionaliti.

Penjajah berkata bahawa tanpa ketiga-tiga program ini, dunia Islam tidak akan dapat menikmati “kemajuan” yang dinikmati oleh barat, “Jikalau kamu ingin berjaya sepeti kami, maka ikutlah jejak langkah kami.” Umat Islam pon menjawab; “Kami dengar dan kami taat.”

Sudah sampai masanya umat Islam sedar bahawa pada hari ini, tidak sampai 300 tahun, Barat sendiri sudah mula menunjukkan bibit-bibit kekecewaan terhadap kemodenan yang mereka perjuangkan semenjak revolusi Perancis 1789, dan hari ini sebahagian pemikir-pemikir mereka dengan keras sedang menyerang institusi-institusi perbankan dan pendidikan di negara mereka. Bahkan kita sebenarnya tidak memerlukan pengakuan daripada mereka, amati sahaja gejala sosial, keadaan ekonomi, dan ekologi dunia hari ini, ini sudah cukup untuk membuka pekung penipuan ketiga-tiga slogan diatas.

Tetapi, perkara yang sangat memalukan adalah kita dapati lebih ramai rakyat Amerika yang mempersoalkan penggunaan duit kertas dolar Amerika daripada Umat Islam sendiri. Kita telah tanpa segan silu mengatakan; "Kan ini kemodenan...perubahan...Islam itu sesuai dengan setiap zaman dan tempat...duit kertas ini adalah kemajuan..." Ini kejahilan yang memalukan bukan kemajuan.

Sehingga ke hari ini, sebahagian golongan intelektual (bukan golongan bijaksana) Islam masih dengan rela hati memodenkan agama mereka.


Kemajuan Didalam Islam

Takrif kemajuan adalah jelas didalam Islam. Titik pemulaan, A dan destinasi yang jelas, B. Bila kita bergerak dari titik A ke titik B (Allah) semakin dekat dengan Allah, maka itulah yang dipanggil kemajuan.

Makna kemajuan dalam pemikiran Barat pula adalah sesuatu yang tidak jelas dan tiada titik akhir, mereka terperangkap didalam konsep evolusi dan evolusi tanpa henti dan tiada berhalatuju. Pada mereka kemajuan adalah apabila kita meninggalkan idea-idea dan pandangan alam yang silam dan menuju kepada sesuatu yang baru.

Didalam Islam kita tidak dapat nafikan bahawa kita harus kembali mengambil inspirasi umum dan perincian daripada silam (zaman Rasulullah s.a.w). Kerana itu Barat benar-benar garuk kepala secara ikhlas bila Umat Islam berkata; "Kami inginkan kemodenan tetapi kami tetap juga ingin amalkan Sunnah." Kerana mereka tahu bahawa pada hakikatnya kemodenan (istilah asal) dengan Islam tidak boleh berjalan bersama.

Islam tidak menentang sains dan teknologi, ulama-ulama kibar kita tidak menentang sains dan teknologi, tidak pernah berlaku didalam sejarah Islam penentangan yang signifikan terhadap sains, bahkan merekalah pencetus revolusi pemikiran saintifik tanpa perlu menggunakan kacamata sekularisme mahupun modenisme. Namun Islam sejak dahulu dan akan terus menentang riba yang hari ini dipanggil dengan nama baru; Kapitalisme. Maka harus difahami dengan jelas perbezaan antara kemajuan sains dan teknologi dengan kemodenan.

Islam datang untuk memperbetulkan keadaaan manusia, bukan untuk manusia merosakkanya dengan hawa nafsu mereka. Perkataan kontekstualisasi nas-nas Quran dan Sunnah harus digunakan dengan hati-hati. Jikalau diambil ringan dan digunakan sewenang-wenangnya maka, yang sebenarnya kita lakukan adalah merosakkan Islam demi menjaga "kemaslahatan" umum masyarakat dunia moden yang jelas sudah sesat dan menyeleweng.

Nas Quran dan Sunnah yang suci tidak akan dapat disesuaikan/dikontekstualisasikan dengan konteks yang sudah rosak. Bila ini berlaku, jangan pula Islam yang disalahkan dan dikatakan kuno dan membutakan mata daripada penjenayah sebenar.

Islam itu terlalu maju untuk masyarakat moden yang mundur yang sudah lupa diri dan lupa akan tujuan hidup mereka.

Banyak cadangan yang telah diutarakan oleh pemikir-pemikir Islam kita hari ini sebagai usaha menyelamatkan dunia daripada lingkaran kehancuran ini. Sebahagiannya kelihatan Utopian dan idealistik namun hakikatnya adalah semua perubahan bermula dengan sesuatu yang idealistik dan sukar digambarkan. Janganlah kita menggunakan alasan "ini Utopian" untuk menepis dan manyapu ke tepi buah fikiran pemikir-pemikir ini dan terus kembali meneruskan kehidupan seakan-akan tiada apa yang berlaku dan kembali membontot barat.

Yang pastinya sistem pendidikan dan sistem ekonomi Islam sudah terbukti berjaya sepanjang 1400 tahun yang lalu, sedangkan sistem pendidikan dan kewangan moden yang baru mula bertatih ini sudah mula goyah dan hanya menanti masa untuk tumbang.

Pilihan ada di tangan anda.

Wassalam.


Penulisan ini adalah inspirasi daripada karya-karya :

- Shaykh Dr Abdal Qadir As-Sufi.

- Rais Umar Ibrahim Vadillo

- Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas

- Maulana Imran Nizar Hossien

Sila rujuk kepada karya-karya mereka untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment